PETALING JAYA: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada AS$120.6 bilion (RM511.47 bilion) setakat 30 Jun 2025, berbanding AS$119.9 bilion (RM508.8 bilion) yang dicatatkan pada 13 Jun lalu.
BNM dalam kenyataan hari ini memaklumkan paras itu telah mengambil kira pelarasan suku tahunan penilaian semula kadar pertukaran asing.
“Rizab ini mencukupi untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek,” kata bank pusat itu.
Komponen utama rizab terdiri daripada rizab mata wang asing sebanyak AS$108.0 bilion, kedudukan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$5.9 bilion), emas (AS$4.1 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.3 bilion).
Jumlah aset keseluruhan pula mencecah RM607.30 bilion, merangkumi emas, pertukaran asing dan rizab lain termasuk SDR (RM510.05 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM13.26 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM27.26 bilion), tanah dan bangunan (RM4.58 bilion), serta aset lain (RM45.30 bilion).

Dalam masa sama, jumlah modal dan liabiliti turut meningkat kepada RM639.51 bilion.
Ia terdiri daripada modal berbayar RM100 juta, rizab RM189.54 bilion, mata wang dalam edaran RM171.81 bilion, deposit oleh institusi kewangan RM123.22 bilion, deposit kerajaan persekutuan RM7.07 bilion, deposit lain RM75.78 bilion, kertas Bank Negara RM10.06 bilion, peruntukan SDR RM27.77 bilion serta liabiliti lain RM2.91 bilion.
Baca juga: