Rizab Bank Negara Meningkat, Petanda Pelaburan Asing Semakin Yakin – Penganalisis

Oleh: Nadhirah Akmam

PETALING JAYA: Kenaikan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat sebagai petanda jelas bahawa kerajaan berjaya menarik semula minat pelabur asing dan memperkukuh kedudukan ekonomi negara di peringkat global.

Menurut Ketua Penganalisis Ekonomi, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, lonjakan rizab ini mencerminkan lebihan dagangan serta kemasukan modal asing yang lebih stabil dan konsisten sejak awal tahun ini.

“Peningkatan rizab ini bukan berlaku secara kebetulan, ia hasil daripada pelbagai dasar kerajaan yang berjaya mengembalikan keyakinan pelabur.

“Suruhanjaya Sekuriti Malaysia juga menunjukkan indikator positif terhadap keyakinan kredit negara,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit hari ini.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada pengukuhan fiskal ialah kejayaan kerajaan merendahkan defisit fiskal kepada 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2025, berbanding 5.7 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Tambahnya, langkah menaikkan kadar Cukai Perkhidmatan daripada 6 peratus kepada 8 peratus yang mula berkuat kuasa pada 1 Mac 2024 juga telah memberikan hasil segera. Suku pertama 2025 mencatat peningkatan ketara dalam kutipan cukai SST, yang membantu menambah sumber pendapatan negara.

“Dalam masa sama, rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan pada 10 Mac 2024 menunjukkan kesan positif kepada kewangan negara.

“Perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial berjaya dikurangkan sebanyak 19.4 peratus dalam suku pertama tahun ini,” katanya.

Ujarnya, gabungan kedua-dua langkah fiskal itu tidak hanya membantu mengurangkan defisit negara, tetapi juga menghantar isyarat positif kepada pelabur antarabangsa yang mula menunjukkan minat terhadap instrumen hutang kerajaan Malaysia.

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Rizab antarabangsa meningkat kepada AS$120.6 bilion (RM511.47 bilion) setakat 30 Jun 2025, berbanding AS$119.9 bilion (RM508.8 bilion) yang dicatatkan pada 13 Jun lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat