RM1 bilion untuk pesawah bukti Kerajaan tidak pinggir negeri lain

PETALING JAYA: Kerajaan bersungguh meningkatkan hasil padi apabila memperuntukkan hampir RM1 bilion bagi Projek Pembangunan Infrastruktur bagi menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Fasa 1.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kesungguhan itu bukti jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan terhadap kesejahteraan semua rakyat tanpa mengira perbezaan politik.

“Projek dalam tempoh dua tahun melibatkan keluasan sekitar 11,000 hektar itu adalah bukti nyata usaha kerajaan dalam meningkatkan hasil padi sebanyak 15 peratus dan menaikkan pendapatan 6,100 pesawah sehingga 43 peratus.

“Rakyat Kedah khususnya golongan petani berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana tidak meminggirkan atau menganaktirikan mana-mana negeri termasuk negeri pembangkang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohammed Taufiq turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani atas komitmen mereka dalam menjadikan industri padi dan beras sebagai tunjang keterjaminan makanan negara.

Dalam masa sama, Mohammed Taufiq berkata, langkah Perdana Menteri membantu pesawah melalui inisiatif lain seperti pemberian bantuan khas oleh Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dan bantuan banjir untuk Skim Takaful Tanaman Padi (STTP), disifatkan amat bermakna bagi meringankan beban pesawah yang terjejas akibat bencana alam.

“Kita perlu mengakui bahawa kerajaan-kerajaan sebelum ini tidak pernah mengambil inisiatif sebegini untuk negeri-negeri pembangkang dan pesawah padi,” tambahnya.

Menurutnya lagi, beliau yakin Kerajaan Madani akan terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dalam hal ini demi memastikan keterjaminan makanan negara dan kesejahteraan pesawah terus terpelihara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat