RM10 Juta Naik Taraf Gerai Kecil Sempena Hari Ibu – PM

TAWAU: Sempena Hari Ibu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi menyelenggara kedai dan gerai kecil di Sabah menerusi Projek Siap Tamu Desa Sabah, sebagai penghargaan kepada wanita yang berniaga.

Peruntukan itu, katanya, diberikan bagi memastikan para peniaga wanita, khususnya di luar kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak berada di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dapat menjalankan perniagaan dalam suasana lebih selesa dan terlindung daripada cuaca panas atau hujan.

“Datuk Ewon Benedick (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) bisik kepada saya tentang keperluan pasar tamu MADANI yang memerlukan peruntukkan tambahan.

“Hadiah hari ibu, kita peruntukkan RM10 juta. Kita tidak buka restoran besar, kita nak bagi bumbung yang baik agar para ibu dapat berniaga dengan selesa tanpa berpanas, gadis-gadis Sabah kekal putih (sambil berseloroh),” katanya dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 Sabah, pada Ahad.

Dalam awal ucapan beliau, Anwar sempat menyentuh mengenai sambutan Hari Ibu pada hari ini dengan mengajak rakyat menghargai pengorbanan insan bergelar ibu bukan hanya pada tarikh istimewa itu, sebaliknya setiap masa.

“Orang (ibu) yang melahirkan kita, yang menunjukkan kasih sayang kepada kita… anak-anak yang masih punya ibu, malam ini jangan lupa cium tangan mereka. Tunjukkan kasih sayang,” katanya.

Beliau juga berkongsi kenangan peribadi apabila menyentuh tentang pemergian ibunya dan menyarankan mereka yang telah kehilangan ibu supaya membaca al-Quran dan mendoakan kesejahteraan roh mereka.

Anwar turut mengingatkan mereka yang bekerjaya agar tidak lalai menghargai kehadiran ibu bapa.

“Kadang-kadang, bila sudah berjaya, dua tiga minggu pun susah nak telefon tanya khabar. Saya harap Hari Ibu ini dijadikan peringatan, kerana kita ini manusia… mudah lupa,” katanya.

Anda Mungkin Berminat