KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM100,000 bagi setiap kampung Felda untuk melaksanakan projek pembangunan yang ditentukan sendiri oleh penduduk setempat.
Menurutnya, langkah itu selaras dengan prinsip pemerkasaan rakyat dan aspirasi Kerajaan Madani yang menekankan konsep musyawarah serta penglibatan komuniti.
“Saya sudah sediakan peruntukan, setiap kampung Felda diberikan RM100,000 untuk mereka tentukan projek apa yang mereka nak lakukan,” katanya.
Anwar berkata, Felda tidak lagi menetapkan jenis projek yang perlu dilaksanakan, sebaliknya penduduk diberi kebebasan untuk memilih sendiri sama ada ingin membeli traktor, membina kolam ikan atau mendapatkan teknologi seperti dron.
“Nak beli apa, traktor? Nak buat kolam ikan? Nak beli dron? Saudara sendiri putuskan apa yang nak beli. Saya sediakan RM100,000 bagi setiap kampung,” katanya semasa merasmikan Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) di MITEC.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Baca juga: