PARLIMEN | Kerajaan memperkukuh transformasi sektor agromakanan negara dengan menyalurkan lebih RM112 juta pembiayaan melalui Dana Pembiayaan Agroteknologi MADANI, bagi membantu usahawan tani melaksanakan projek berasaskan teknologi moden.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dana itu disalurkan melalui Agrobank untuk menggalakkan penggunaan teknologi seperti rumah hijau pintar, sistem Internet of Things (IoT) dan bioflok dalam pertanian.
“Langkah ini bukan sekadar membantu petani meningkatkan hasil tetapi juga mengurangkan kos operasi melalui penggunaan sistem automasi dan data pintar,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurut beliau, kerajaan kini memberi tumpuan terhadap transformasi digital sektor agromakanan menerusi pelbagai inisiatif termasuk program Digital AgTech bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang telah memasang lebih 700 sistem pertanian pintar di seluruh negara.
“Penerapan teknologi seperti ini berpotensi meningkatkan produktiviti sehingga 20 peratus dan menjimatkan kos sebanyak 30 peratus,” ujarnya.
Menurut beliau, bagi tahun 2025, KPKM akan melancarkan Program Pemacu Digital Industri Padi (DX Padi) yang memfokuskan kepada pemodenan industri padi melalui penggunaan dron, IoT dan teknologi Artificial Intelligence (AI) generatif.
“Kita mahu memastikan sektor pertanian negara terus maju, moden dan berdaya tahan agar rakyat menikmati bekalan makanan yang cukup, selamat serta berpatutan,” katanya.








