RM125 Juta Suntikan Dana Pulih Projek Residensi Hektar Gombak

PETALING JAYA: Kerajaan MADANI menyuntik RM125 juta melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyambung semula pembinaan projek perumahan mampu milik Residensi Hektar Gombak yang tertangguh yang melibatkan 2,400 unit rumah.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, dana itu adalah hasil rundingan teknikal dan kewangan berterusan oleh Pasukan Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) yang bertungkus-lumus sejak beberapa bulan lalu.

“Dengan adanya suntikan modal ini, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan semula hari ini oleh kontraktor utama baharu, Bina Permai Sdn. Bhd., selepas sekian lama projek ini tertangguh,” katanya ketika lawatan ke tapak projek.

Untuk info, projek ini dimulakan sejak 2018 oleh Hektar Aneka Sdn. Bhd. di bawah Program Residensi Wilayah (RUMAWIP), namun gagal disiapkan mengikut jadual asal, iaitu Mei 2022.

Setelah diklasifikasi sebagai projek sakit selama lebih setahun, kerja-kerja fizikal yang hanya mencapai 84 peratus terhenti sepenuhnya.

“Kerajaan MADANI prihatin terhadap nasib pembeli yang terjejas.

“KPKT turut membantu mereka dalam mendapatkan pengurangan bayaran dan penstrukturan semula pinjaman bersama institusi kewangan,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat