RM150 Juta Diperuntuk Untuk Pendidikan Tahfiz, Huffaz Profesional Jadi Fokus

PETALING JAYA: Komitmen kerajaan terhadap pendidikan Tahfiz terus diperkasa dengan langkah strategik dan peruntukan besar bagi melahirkan generasi Huffaz yang bukan sahaja mahir al-Quran tetapi juga profesional dalam pelbagai bidang.

Sekretariat Majlis Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara salam satu kenyataan berkata, sejak pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) pada 2017, usaha bersepadu telah digerakkan melalui pembangunan institusi, kurikulum dan sistem pemantauan seperti SIMPENI.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 10,081 program melibatkan 61,494 pelajar di 1,401 institusi telah direkodkan.

“Kerajaan sentiasa komited memperkasa pendidikan Tahfiz sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan generasi Rabbani yang seimbang dan profesional,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Darul Quran mencatat pencapaian membanggakan dengan 12,597 alumni Huffaz.

Kini, kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan pelbagai agensi lain sedang giat dijalankan untuk mengintegrasikan graduan Tahfiz ke dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Model Pengajian Tahfiz TVET sedang dibangunkan bagi melahirkan ‘Huffaz Profesional’ yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” kata kenyataan itu lagi.

Bagi memperkukuh ekosistem sokongan pendidikan Tahfiz, kerajaan memperuntukkan RM150 juta pada tahun 2025 untuk menaik taraf infrastruktur institusi Tahfiz.

Di samping itu, RM7 juta setahun disalurkan melalui program Simpanan Pembiayaan Huffaz (SPH) bagi membantu pelajar yang memerlukan.

Untuk info, satu Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara bakal berlangsung dengan pelbagai aktiviti melibatkan JAKIM, KPT, KSM dan agensi lain.

Acara itu dijangka menjadi medan penyatuan para Huffaz dan pengukuhan nilai-nilai al-Quran dalam masyarakat.

“Kerajaan akan terus memperkasa pendidikan Tahfiz yang inklusif dan progresif demi melahirkan generasi Huffaz yang menyumbang kepada pembangunan negara,” kata kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat