KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan wang tunai lebih RM169 juta milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilucut hak dan diserahkan kepada Kerajaan Malaysia.
Perintah itu dibuat Hakim Suzana Hussin selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat, memaklumkan tiada pihak ketiga tampil menuntut wang berkenaan.
“Responden (Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus) tidak mengemukakan bantahan terhadap permohonan ini, malah ia telah direkodkan pada tarikh sebelum ini (8 Sept). Mahkamah juga mendapati tiada pihak ketiga mengemukakan tuntutan.
“Oleh itu, permohonan untuk melucut hak wang berkenaan dibenarkan di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009,” katanya semasa prosiding, memetik berita tempatan.
Mahadi menjelaskan notis warta kerajaan bagi pihak ketiga telah disiarkan pada 22 Sept lalu dan difailkan secara e-kehakiman, namun tiada sebarang tuntutan dibuat.
Sebelum ini, peguam Ismail Sabri dan Mohammad Anuar turut memaklumkan kepada mahkamah menerusi surat bertarikh 28 Ogos bahawa mereka tidak berhasrat mencabar permohonan SPRM.

Jumlah wang tunai yang dilucut hak meliputi pelbagai mata wang, antaranya RM14.7 juta; SG$6.13 juta; AS$1.46 juta; CHF3 juta (Swiss Franc); EUR12.16 juta; JPY363 juta (Yen); GBP50,250; NZ$44,600; AED34.75 juta (Dirham Emiriah) dan AUD352,850.
SPRM memfailkan permohonan lucut hak itu pada 7 Julai lalu selepas berpuas hati wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, SPRM turut merampas wang tunai lebih RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas bernilai kira-kira RM7 juta. Rampasan itu dilakukan hasil siasatan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Ahli Parlimen Bera itu, termasuk penahanan empat pegawai kanannya pada Februari lepas.
Baca juga: