RM17.5 Bilion Diperuntuk Kerajaan Persekutuan Untuk Sabah Pada 2026

PETALING JAYA: Sabah bakal menerima suntikan pembangunan berjumlah RM17.5 bilion daripada Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2026, sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat dan mempercepat kemajuan negeri itu.

Kementerian Kewangan dalam satu hantaran beserta infografik di media sosial menyatakan bahawa peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan terhadap pembangunan menyeluruh di Sabah.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan konsisten berbanding RM17.3 bilion pada 2025, RM14 bilion pada 2024, RM13.9 bilion pada 2023 dan RM12.9 bilion pada 2022, iaitu satu lonjakan yang memperlihatkan Sabah terus menjadi keutamaan dalam Belanjawan Negara.

“Di bawah pentadbiran Madani, projek prasarana utama seperti Pan Borneo Sabah bernilai RM13.9 bilion disambung semula, selain peningkatan kemudahan asas termasuk Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II,” kata kementerian itu.

Selain pembangunan infrastruktur, kerajaan turut menyalurkan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan elektrik di negeri berkenaan, manakala RM765 juta diperuntukkan bagi Projek Talian Penghantaran Southern Link yang bertujuan memperkukuh sistem tenaga Sabah.

Kementerian berkata, peruntukan berterusan itu akan meningkatkan akses kepada prasarana, kemudahan kesihatan dan bekalan elektrik, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah secara menyeluruh.

Peruntukan itu juga dilihat sebagai manifestasi fokus Kerajaan Madani dalam memastikan Sabah menikmati pembangunan yang setara dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Anda Mungkin Berminat