RM184.4 Juta Dibelanja Malaysia, Anjur Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

PARLIMEN | Di sebalik kejayaan Malaysia selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Kerajaan Madani telah memperuntukkan sebanyak RM184.4 juta bagi memastikan penganjuran sidang berprestij itu berjalan lancar dan meninggalkan kesan positif kepada para pemimpin serta delegasi yang hadir.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, jumlah tersebut adalah selaras dengan kelulusan Kementerian Kewangan dan mematuhi garis panduan kewangan semasa.

“Segala perbelanjaan dilakukan adalah mengikut tatacara kelola kewangan semasa yang berkuat kuasa dengan langkah-langkah penjimatan yang optimum,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, menjawab soalan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berhubung kos dan langkah keselamatan sepanjang sidang berlangsung.

Persiapan logistik, jelas beliau, telah dimulakan sejak awal tahun dengan tumpuan utama diberikan kepada protokol, keselamatan dan kesejahteraan awam di lokasi persidangan serta hotel penginapan.

“Elemen ini diberi penekanan khusus bagi memastikan program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan teratur dan memastikan keselamatan serta keselesaan Ketua-ketua Negara dan Kerajaan bersama delegasi terjamin semasa berada di Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, koordinasi keselamatan dan pergerakan delegasi pula diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri (KLN) bersama pelbagai kementerian dan agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Istiadat dan Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Mohamad menyifatkan penganjuran sidang kemuncak itu sebagai satu kejayaan besar buat negara.

“Dalam memastikan kelancaran penganjuran, Kementerian Luar Negeri (KLN) telah bekerjasama rapat dengan Kedutaan-kedutaan negara yang terlibat di Kuala Lumpur bagi mengenal pasti serta menyelaras keperluan logistik Ketua-ketua Negara dan Kerajaan serta delegasi masing-masing.

“Ini termasuk penyelarasan keperluan yang melibatkan Tatacara Pengendalian Piawai (Standard Operating Procedure), keselamatan, dan protokol yang berbeza antara setiap negara yang terlibat,” katanya.

Beliau menambah, kejayaan penganjuran itu adalah hasil daripada persiapan rapi, penyelarasan mantap dan komitmen padu semua kementerian dan agensi terlibat.

Malaysia, katanya, turut menerima pujian daripada negara-negara serantau dan komuniti antarabangsa iaitu satu pengiktirafan terhadap tahap kesiapsiagaan negara dalam menganjurkan sidang berskala besar.

“Kementerian yakin kejayaan ini akan terus mengangkat profil serta martabat negara di persada,” katanya.

Anda Mungkin Berminat