PETALING JAYA: Kerajaan terus memperkukuh ekosistem komunikasi negara menerusi Belanjawan 2026 apabila Kementerian Komunikasi menerima peruntukan keseluruhan hampir RM2.56 bilion.
Langkah itu dilihat sebagai usaha strategik untuk memperluas kesalinghubungan digital, memperkasa ekonomi kreatif dan memperkukuh nilai kenegaraan.
Dalam satu kenyataan media pada Sabtu, Kementerian Komunikasi menegaskan komitmen untuk memastikan rakyat menikmati infrastruktur komunikasi yang lebih baik dan menyeluruh.
“Kementerian Komunikasi menerima peruntukan keseluruhan hampir RM2.56 bilion daripada belanjawan kerajaan untuk tahun 2026 bagi memastikan rakyat menikmati infrastruktur komunikasi yang lebih baik, mengukuhkan nilai kenegaraan termasuk memperkasakan ekonomi jingga,” katanya.
Antara inisiatif utama yang bakal digerakkan termasuk pelaksanaan projek Point of Presence (PoP) dengan peruntukan RM770 juta yang bertujuan memperluas capaian rangkaian digital ke kawasan luar bandar dan pedalaman.
Dalam masa sama kementerian itu berkata, RM110 juta diperuntukkan sebagai insentif kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa untuk menghasilkan karya berkualiti tinggi termasuk RM10 juta khusus bagi kandungan berunsur kenegaraan.
Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, RM10 juta turut disalurkan bagi menyokong penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa sebagai usaha merancakkan industri hiburan dan pelancongan negara.
Lebih signifikan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima peruntukan tambahan sebanyak RM3.99 bilion untuk memperluas jaringan telekomunikasi, memperkasakan usahawan desa dan meningkatkan kesiapsiagaan negara terhadap bencana.
“RM3.99 bilion itu meliputi, RM2 bilion bagi membangunkan Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) melibatkan laluan dasar laut dari Sedili, Johor; ke Kuching dan Sibu, Sarawak; seterusnya ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau, Sabah.
“RM780 juta untuk projek Jalinan Digital Negara Fasa 2 (JENDELA 2) bagi peluasan ke 2,700 lokasi baharu.
“RM650 juta bagi meningkatkan ketersambungan internet di hospital awam, klinik kesihatan, klinik ibu dan anak, klinik komuniti dan klinik desa.
“RM350 juta bagi tujuan memperkasakan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang memanfaatkan usahawan desa untuk meningkatkan pendapatan.
“RM210 juta untuk membangunkan Sistem Amaran Awal (EWS) bagi memperkukuh kesiapsiagaan bencana dan krisis, sekali gus mengurangkan risiko kepada nyawa serta harta benda,” menurut kenyataan itu.
Dalam usaha memacu transformasi teknologi, MCMC turut akan membangunkan Sovereign AI Cloud dengan pelaburan RM2 bilion serta menubuhkan AI Transformation Centre bersama Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dan Centre of Excellence in Ethics for Emerging Technologies sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan teknologi AI yang peka budaya.
“Kementerian Komunikasi yakin Belanjawan 2026 dapat meningkatkan lagi keterhubungan komunikasi, literasi digital serta mencambah hasil industri kreatif yang berkualiti,” katanya.