RM239 juta diperuntukkan bagi kerja penggantian paip usang di Pahang

Sebanyak RM239.95 juta diperuntukkan bagi melaksanakan kerja penggantian paip lama di seluruh negeri Pahang di bawah Pelan Perniagaan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

Menurut Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, kesemua paip jenis  Asbestos Cement (AC) sepanjang 39,895 kilometer (km) berusia melebihi 25 tahun dan merupakan antara penyumbang utama peningkatan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) di negeri Pahang.

“Paip AC ini sudah berusia melebihi 25 tahun dan berisiko untuk pecah jika tidak digantikan dengan paip baharu jenis mild steel, cast iron, ductile iron, polyethylene (PE) dan unplastisized polyvinylchloride (uPVC).

“Bagi negeri Pahang, sepanjang 3,618 km paip jenis AC iaitu 23.5 peratus daripada keseluruhan panjang paip masih belum ditukar.

“Kerja-kerja penggantian paip adalah di bawah tanggungjawab operator air,” katanya dalam jawapan bertulis sidang Parlimen.

Terdahulu, dianggakr RM2.2 bilion telah diluluskan di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) kepada negeri-negeri yang telah menyertai Skim Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air mulai tahun 2010 hingga Disember 2023 bagi pelaksanaan 520 projek penggantian paip sepanjang 4,372 km.

Difahamkan, sepanjang 39,895 km iaitu 29.3 peratus daripada 135,975 km keseluruhan paip di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan merupakan paip utama dari jenis AC.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat