PULAU PINANG: Kisah keperitan hidup sebuah keluarga miskin tegar di Pematang Damar Laut mendapat perhatian ramai apabila lebih RM26,000 berjaya dikumpulkan dalam tempoh 24 jam bagi membantu mereka.
Berita gembira itu dikongsi Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang memulakan inisiatif tersebut selepas melawat ke rumah keluarga itu sebelum kutipan dana.
Kata Sim, kisah keluarga Hasrizal, 47, tidak pernah mendapat bantuan dari mana-mana pihak termasuk pejabat beliau sendiri kerana kes mereka telah lama berada di bawah radar.
Namun, ada jiran yang memaklumkan kisah mereka kepada pihaknya.
“Hasrizal yang bergaji pokok hanya RM1,700 sebulan bekerja keras untuk menyara isteri dan enam orang anaknya termasuk seorang bayi yang baru dilahirkan.
“Keadaan bertambah sukar apabila motosikalnya rosak dan memerlukan kos pembaikan RM500 yang tidak mampu ditanggungnya menyebabkan Hasrizal terpaksa berjalan kaki selama satu jam setengah ke tempat kerja setiap hari,” kata Sim dalam satu hantaran di Facebook.
Lebih menyayat hati, keluarga Hasrizal yang tinggal di sebuah rumah setinggan kecil seluas 100 kaki persegi bersebelahan lapangan terbang Pulau Pinang terpaksa tidur dalam keadaan basah setiap kali hujan kerana keadaan atap yang bocor, kata Sim.
Susulan itu, beliau telah menyegerakan bantuan kepada keluarga Hasrizal dengan menggunakan dana yang dikumpul.
“Saya gunakan dana ini untuk mendapatkan satu unit perumahan kerajaan negeri bersaiz 700 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan satu bilik air.
“Mulai hari ini, keluarga Hasrizal tidak perlu lagi tidur atas katil basah.
“Saya akan selesaikan bayar rumah, bil elektrik dan air selama tiga tahun. Hasrizal akan dibantu untuk mencari pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi dan memasukkan anak-anak ke kursus TVET untuk mereka belajar kemahiran baru.
“Motosikal baru pun saya belikan supaya dia tidak perlu lagi berjalan kaki ke tempat kerja. Saya buat semua ini supaya mereka boleh pulih dan bina semula hidup mereka perlahan-lahan,” katanya.
Menjelang Aidilfitri, keluarga ini turut diberikan peluang membeli pakaian raya baru, sesuatu yang sebelum ini hanya mampu mereka impikan.
Keluarga Hasrizal amat bersyukur dan menyifatkan bantuan ini sebagai hadiah Ramadan paling bermakna buat mereka.
“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu. Ini benar-benar mengubah hidup kami,” ujar isterinya, Mazmin sambil menitiskan air mata.








