KUALA KANGSAR: Pendidikan dan naik taraf kemudahan sekolah akan terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI meskipun negara berdepan tekanan akibat krisis tenaga global, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Kangsar pagi ini, beliau menekankan bahawa projek kecil yang menyentuh keperluan harian pelajar mesti disegerakan tanpa berlengah.
“Keutamaan ini tidak boleh dikompromi walau dalam keadaan krisis kerana masa depan anak-anak tidak boleh menjadi korban,” katanya.
Anwar turut mengingatkan bahawa dunia kini berdepan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan bekalan minyak dan gas serta mencetuskan ketidaktentuan pasaran.
Malaysia, katanya, turut merasai tempiasnya, namun Kerajaan MADANI berusaha memastikan rakyat tidak terbeban.
“Kerajaan MADANI terus berikhtiar sedaya upaya memastikan rakyat tidak terbeban termasuk mengekalkan harga RON95 pada kadar yang rendah serta meneruskan subsidi diesel kepada golongan yang memerlukan, sambil mengimbangi keperluan melindungi rakyat dan menjamin bekalan tenaga negara untuk jangka panjang,” jelas beliau.
Dalam ucapan itu, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan pendidikan yang bukan sahaja menekankan penguasaan ilmu tetapi juga penerapan nilai dan akhlak.
“Ilmu tanpa nilai boleh memesongkan arah jika tidak dipandu oleh adab dan keinsanan,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan terhadap pendidikan, Anwar mengumumkan peruntukan RM296,000 bagi kerja-kerja baik pulih bangunan hospital pertama di Kuala Kangsar yang kini digunakan oleh SMK Clifford.
Langkah itu bukan sahaja memelihara warisan sejarah tetapi juga memastikan kemudahan pembelajaran lebih selesa dan kondusif.
Beliau menutup ucapannya dengan keyakinan bahawa dengan keutamaan jelas terhadap pendidikan serta kebersamaan rakyat dalam mendepani cabaran global, Malaysia mampu membina masa depan yang lebih adil, berdaya tahan dan berteraskan nilai.








