RM450 Juta Diperuntuk Perkasa Kontraktor Kecil G1-G4

PARLIMEN | Kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi tahun 2025 untuk memperkasa kontraktor kecil bumiputera kelas G1 hingga G4 dalam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan, berkata dasar ini sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan kontraktor tempatan terus diberi keutamaan dalam pelaksanaan projek pembinaan dan penyelenggaraan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).

Menurutnya, dasar itu selaras dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030) yang menekankan pembangunan industri pembinaan secara inklusif dengan memberi tumpuan kepada penglibatan kontraktor kecil tempatan.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan Program Mempercepatkan Penyelenggaraan Jalan dengan memanfaatkan kontraktor G1 hingga G4 melalui kaedah cabutan undi. Setakat ini, 664 kontraktor telah terpilih dan semua kerja dijangka siap 30 Oktober ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ahmad berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut memperkasa kontraktor kecil melalui latihan kemahiran dan pembangunan kapasiti, termasuk melahirkan kontraktor muda Bumiputera serta meningkatkan kemahiran teknikal dan keusahawanan lepasan TVET dan Akademi Binaan Malaysia (ABM).

Program seperti Accelerator for Construction Entrepreneurs (ACE), Skilltechpreneur, SFERA (Construction Innovation Hub) dan Cekap+ (Cekap Plus), katanya, memberi manfaat kepada ratusan kontraktor kecil untuk meningkatkan daya saing dan pengurusan projek.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025, beliau memaklumkan sebanyak 76 projek kerajaan dan swasta dilaksanakan di Langkawi, dengan 47.4 peratus atau 36 projek dianugerahkan kepada kontraktor tempatan.

Ahmad menegaskan, semua proses perolehan kerajaan berpaksikan lima prinsip utama iaitu akauntabiliti awam, ketelusan, nilai untuk wang, persaingan terbuka dan keadilan.

Katanya, kerajaan juga membenarkan perolehan kerja secara cabutan undi bernilai sehingga RM200,000 hingga 31 Disember 2025, bagi memberi peluang lebih luas kepada kontraktor kecil menyertai projek kerajaan dan merancakkan ekonomi setempat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat