PETALING JAYA: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) terus mencatat kemajuan memberangsangkan apabila berjaya merekodkan pelaburan direalisasi sebanyak RM6.4 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sekali gus membuka lebih 2,800 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan.
Perkembangan positif itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang diadakan hari ini, yang turut meneliti kemajuan semasa petunjuk utama prestasi (KPI) serta membincangkan hala tuju pembangunan ECER di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang sedang dirangka kerajaan.
Bagi tempoh yang sama, nilai pelaburan komited turut mencatat RM10.4 bilion, melepasi sasaran awal RM10 bilion bagi tahun 2025. Ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap potensi pertumbuhan ekonomi wilayah Pantai Timur yang merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor.
Kerajaan menerusi Pelan Pembangunan ECER dijangka menyiapkan lapan projek strategik dan berimpak tinggi dalam tahun ini, yang bakal memacu pertumbuhan wilayah secara lebih inklusif dan mampan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam mesyuarat tersebut menegaskan keperluan memberi tumpuan kepada kepentingan jangka panjang negara dalam menarik pelaburan baharu, termasuk aspek peralihan teknologi dan peningkatan kemahiran dalam setiap projek pelaburan yang diluluskan.
Beliau turut menggariskan bahawa kejayaan menarik pelabur bukan sahaja dinilai dari segi nilai pelaburan, tetapi juga dari aspek pemindahan teknologi, penciptaan pekerjaan berkualiti dan impak ekonomi setempat yang mampan.
“ECERDC perlu terus memacu momentum ini melalui fasilitasi pelaburan yang cekap dan responsif, bagi memperkukuh kedudukan wilayah ini sebagai destinasi pelaburan kompetitif di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya.
Inisiatif pembangunan yang terancang dan penyediaan ekosistem mesra pelabur akan menjadi pemacu utama kepada kelestarian pertumbuhan ECER sebagai koridor ekonomi yang inklusif, berdaya tahan dan progresif menjelang 2030.
Baca juga: