Sebanyak RM67.6 juta telah diperuntukkan bagi penambahbaikan infrastruktur pelancongan di Negeri Johor menerusi Belanjawan Johor 2024.
Pelan hala tuju itu diperincikan bagi tujuan pemantapan serta penyelarasan semula projek-projek infrastruktur yang akan melonjakkan industri pelancongan di Negeri Johor sekali gus menjayakan Tahun Melawat Johor 2026.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, inisiatif itu sangat penting dalam memastikan kesediaan Johor menerima pengunjung dan pelancong pada tahun 2026.
“Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemegang Taruh Tourism Negeri Johor.
“Tahun Melawat Johor 2026 terus menjadi agenda utama Kerajaan Negeri dalam mengangkat segala usaha pemain industri untuk terus memacu sektor pelancongan di negeri ini.
“Saya juga memohon agar semua ketua-ketua jabatan dan agensi untuk sama-sama berganding bahu bersama-sama Kerajaan Negeri bagi mempergiatkan lagi usaha-usaha untuk mempromosikan produk pelancongan di negeri Johor.
“Saya yakin dengan kerjasama yang baik daripada semua pihak pastinya akan membawa Negeri Johor ke arah negara yang kukuh dan stabil. Insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Raven Kumar a/l Krishnasamy, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat, Shubanah Yusuf, Pengarah Tourism Johor, Encik Shahril Nizam bin Abdul Rahim serta wakil-wakil Persatuan Penggiat Industri Pelancongan Negeri Johor.
Baca juga: