RM80.7 Juta Sumbangan Kerajaan Persekutuan Kepada Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan terus memperkukuh komitmen terhadap kebajikan rakyat Terengganu dengan menyalurkan sumbangan berjumlah RM80.7 juta menerusi pelbagai inisiatif bantuan dan pembangunan ummah.

Sumbangan itu dipersembahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam satu majlis penuh hormat di Istana Syarqiyyah.

Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak RM72.7 juta telah diperuntukkan khusus kepada imam, bilal, guru KAFA dan guru takmir, sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam memperkukuh syiar Islam dan pendidikan agama di peringkat akar umbi.

Selain itu, RM250,000 disalurkan sebagai bantuan kepada mangsa banjir di Terengganu, melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), sebagai langkah segera meringankan beban rakyat yang terjejas.

Turut diumumkan, RM7.8 juta zakat Tabung Haji disumbangkan kepada MAIDAM bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan dan pembangunan ummah termasuk bantuan asnaf, pendidikan Islam dan pemerkasaan ekonomi komuniti.

Mohd Na’im berkata, penyaluran itu bukan sekadar angka tetapi lambang kesungguhan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Sumbangan ini adalah manifestasi komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Terengganu.

“Semoga ia menjadi asbab kebaikan, keberkatan serta mampu memperkukuh kesejahteraan umat dan negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat