RM84 Bilion Lesap: Di Mana Jho Low, Pengkhianat Negara?

KUALA LUMPUR: Di sebalik usaha kerajaan memperkukuh ekonomi dan menstruktur semula subsidi, satu persoalan terus menghantui rakyat Malaysia: Di manakah Low Taek Jho, atau Jho Low, dalang utama skandal kewangan terbesar negara?

Menurut pendedahan terkini oleh wartawan penyiasat Bradley Hope dan Tom Wright dalam siaran langsung Finding Jho Low, Jho Low dipercayai menetap di kawasan elit Green Hills, Shanghai dengan menggunakan identiti Greek Constantinos Achilles Veis dan pasport palsu Australia.

Beliau dikatakan hidup mewah, lengkap dengan pengawal peribadi dan akses kepada kemudahan eksklusif, sambil berperanan sebagai pakar strategik belakang tabir untuk kerajaan China.

Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyaksikan lebih USD18 bilion (RM84 bilion) diseleweng melalui rangkaian transaksi gelap dan boneka korporat.

Wang yang sepatutnya membina masa depan rakyat digunakan untuk membeli hartanah mewah, jet peribadi, karya seni bernilai tinggi dan membiayai filem The Wolf of Wall Street.

Lebih membimbangkan, Jho Low tidak bersendirian dan beliau dipercayai dilindungi oleh rangkaian elit politik dan perniagaan antarabangsa yang berselindung di sebalik syarikat luar pesisir dan institusi kewangan global.

Walaupun Interpol telah mengeluarkan Notis Merah sejak 2018, tiada tindakan konkrit berjaya membawa beliau pulang.

Sementara itu, rakyat Malaysia terus menanggung kesan apabila subsidi dikurangkan, cukai diperkenalkan dan belanjawan diperketat.

Semua ini berpunca daripada kerosakan fiskal yang ditinggalkan oleh legasi tamak haloba Jho Low dan konco-konconya.

Persoalannya sekarang, mengapa tiada tekanan diplomatik besar-besaran untuk ekstradisi? Siapa yang melindungi Jho Low? Dan mengapa sebahagian individu yang turut meraih laba daripada skandal ini masih bebas?

Skandal 1MDB bukan sekadar penyelewengan, ia adalah pengkhianatan terhadap maruah negara.

Selagi Jho Low dan rangkaiannya tidak dibawa pulang, luka ini tidak akan sembuh.

Ini bukan soal politik tetapi soal keadilan buat setiap sen yang telah dirompak daripada anak-anak Malaysia.

Anda Mungkin Berminat