PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan menyasarkan pembinaan satu juta unit rumah mampu milik sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dari tahun 2026 hingga 2035, dalam usaha memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman yang selesa dan selamat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menangani masalah ketidaksepadanan antara permintaan, penawaran dan harga rumah yang tidak selari dengan tahap pendapatan rakyat.
“Sehingga tahun 2025, sebanyak 492,000 unit rumah telah siap dan sedang dibina oleh kerajaan.
Namun, isu pemilikan rumah kekal menjadi cabaran utama kepada rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya semasa membentangkan RMK13 hari ini.
Pelbagai program akan digerakkan bagi mencapai sasaran sejuta rumah tersebut, termasuk:
Program Residensi MADANI iaitu Program Perumahan Penjawat Awam, Program Bantuan Bina Baharu Rumah dan Perumahan Mampu Milik di bawah Kerajaan Negeri dan pemaju swasta.
Bagi memudahkan pembiayaan, Skim Jaminan Kredit Perumahan akan diperluas, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri walaupun tidak mempunyai pendapatan tetap.
Dalam masa yang sama, kerajaan juga akan mempercepatkan pembinaan melalui penggunaan teknologi seperti Industrialised Building System (IBS) dan Building Integrated Management (BIM) bagi mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan pelaksanaan.
Sebagai model baharu pembangunan perumahan bandar, projek Kota MADANI di Putrajaya akan diperluas ke lokasi lain. Konsep ini menggabungkan kemajuan fizikal dengan nilai kemanusiaan, membentuk perbandaran yang inklusif, moden dan beretika.
“Rakyat bukan sahaja perlu diberi tempat tinggal, tetapi juga peluang untuk menikmati kehidupan berkualiti dalam sebuah bandar yang seimbang dari sudut fizikal dan spiritual,” ujar Perdana Menteri.
Baca juga: