RMK13: Anwar Tinjau Pembangunan Di Bentong, 106 Keluarga Miskin Jadi Fokus Bantuan

BENTONG: Setiap projek pembangunan di Bentong mesti dilaksanakan dengan cekap, berintegriti dan memberi manfaat langsung kepada rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Kerajaan MADANI telah meluluskan 563 projek bernilai RM32 bilion di Pahang termasuk 34 projek di Bentong bernilai RM1.66 bilion.

Namun, menurut Anwar, kejayaan pembangunan tidak hanya diukur melalui angka besar tetapi sejauh mana ia benar-benar menyentuh kehidupan rakyat.

“Keutamaan kita tahun ini adalah memastikan setiap projek dilaksanakan segera, berintegriti dan benar-benar memberi kesan kepada keluarga, peniaga kecil serta komuniti setempat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Anwar memberi perhatian khusus kepada 106 keluarga miskin tegar di Bentong dengan arahan agar bantuan segera disalurkan supaya mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan dalam tempoh sebulan.

“Ada 106 keluarga miskin tegar di Bentong dan mereka ini mesti diberikan bantuan segera agar mereka dikeluarkan daripada kepompong kemiskinan dalam tempoh sebulan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kelonggaran dalam proses kelulusan projek bukanlah ruang untuk disalah guna, sebaliknya langkah mempercepat pelaksanaan agar manfaatnya segera dirasai rakyat.

“Kelonggaran kelulusan projek bukan ruang untuk disalah guna tetapi ikhtiar mempercepat pelaksanaan agar manfaatnya segera dirasai oleh rakyat,” katanya.

Selain pembangunan fizikal, Anwar menekankan pemantauan rapat terhadap projek pendidikan termasuk penambahan bilik darjah dan peningkatan keselesaan bilik guru.

Usaha itu selaras dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035.

“Setiap projek yang tertangguh akibat kelemahan pengurusan atau kontraktor akan menjejaskan rakyat dan kerajaan komited memastikan semua pelaksanaan berjalan lancar,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat