KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang sedang disediakan bakal menjadi asas penting dalam usaha kerajaan menangani cabaran ekonomi negara secara menyeluruh dan mampan.
Menurut beliau, RMK13 merupakan dokumen dasar utama Kerajaan MADANI bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang akan dibentangkan dalam sesi persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.
“Dokumen ini adalah hasil usaha berpasukan yang bermula sejak pertengahan tahun lalu, melibatkan input menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan termasuk kementerian, kerajaan negeri, PBT, pertubuhan masyarakat madani serta orang awam,” kata Anwar selepas mempengerusikan sesi perbincangan bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan petang semalam.
Anwar turut menekankan bahawa perancangan strategik menerusi RMK13 akan memberi tumpuan kepada usaha menangani jurang pembangunan dan pendapatan.
Serta mengukuhkan daya tahan fiskal negara, serta mempercepat peralihan struktur ekonomi yang ketika ini masih perlahan.
“Kita tidak boleh selesa. Ekonomi global penuh ketidaktentuan, dan Malaysia perlu bersedia mendepani risiko-risiko ini dengan dasar yang inklusif, lestari dan berkesan,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, RMK13 akan meletakkan asas bagi pembaharuan ekonomi jangka sederhana dan panjang yang berteraskan prinsip keadilan sosial, keseimbangan wilayah dan pertumbuhan mampan seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI.
RMK13 dijangka menjadi antara rancangan pembangunan paling penting sejak beberapa dekad, memandangkan ia bakal membentuk hala tuju strategik negara dalam tempoh separuh akhir menuju Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Baca juga:








