PETALING JAYA: Di sebalik cabaran fiskal dan tekanan hutang negara yang diwarisi daripada pentadbiran kerajaan terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus komited melaksanakan reformasi menyeluruh berlandaskan prinsip ‘rakyat diutamakan’.
Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) semalam memperlihatkan komitmen kerajaan pimpinan Anwar untuk terus memelihara kebajikan rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi jangka panjang.
Menurut Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, kerajaan kekal menyalurkan peruntukan besar kepada sektor pendidikan dan kesihatan, selain meneruskan bantuan rakyat tanpa menjejaskan strategi menambah pendapatan negara.
Azmi berkata, RMK13 menetapkan sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada bawah tiga peratus dan mengekalkan nisbah hutang negara dalam lingkungan 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang lima tahun akan datang.
“Kita meneruskan bantuan kepada rakyat tetapi dalam masa yang sama, kerajaan cuba menambahkan pendapatan negara.
Peruntukan yang disalurkan selari dengan kemampuan fiskal semasa,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Jumaat.

RMK13 memperuntukkan sebanyak RM611 bilion bagi pelaksanaan projek pembangunan dalam tempoh lima tahun, dengan penekanan terhadap kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta bagi mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan.
Azmi berkata, langkah utama kerajaan dalam menjana hasil ialah pelaksanaan sistem e-invois, percukaian korporat lebih cekap serta rasionalisasi subsidi melalui pendekatan bersasar.
“Rasionalisasi subsidi merupakan antara langkah paling penting dalam menambah pendapatan negara, selain pelaksanaan cukai SST dan cukai korporat yang lebih efisien,”
“RMK13 turut memberi tumpuan kepada pengukuhan sektor kesihatan dan pendidikan, masing-masing dengan peruntukan RM40 bilion dan RM67 bilion” katanya.
Baca juga:








