RMK13: Kerangka Baharu Melakar Semula Pembangunan Negara

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menandakan fasa baharu pembangunan negara dengan tema “Melakar Semula Pembangunan”, selari dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai Negara Bangsa yang bermaruah, maju dan berdaya saing di peringkat global.

Mengambil kira cabaran struktur ekonomi dan trend mega dunia, Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada pengeluaran bahan asas dalam sektor pertanian, perindustrian dan perkhidmatan, sebaliknya perlu beralih kepada penciptaan nilai dalam semua sektor.

“Lima tahun mendatang adalah tempoh kritikal untuk kita bukan sahaja menjadi negara berpendapatan tinggi tetapi juga melahirkan rakyat berjiwa insaniah dan memiliki kehidupan yang berkualiti,” katanya semasa membentangkan usul RMK13 di Dewan Rakyat.

RMK13 berpaksikan tiga kebijakan utama:

Tatakelola Baik: Menjamin kekayaan negara diagihkan secara adil dan saksama, memperkukuh integriti serta mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan dan pengurusan fiskal.

Kerencaman Ekonomi: Menekankan peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai, dengan tumpuan kepada teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta pembangunan industri bernilai tinggi.

Pembangunan Terangkum dan Responsif: Mengangkat darjat kehidupan rakyat melalui dasar menangani kos sara hidup, pembangunan sosial dan pengukuhan taraf sosioekonomi golongan sasar.

Perdana Menteri turut berkata, RMK13 bukan retorik semata-mata, sebaliknya didukung oleh sasaran ekonomi yang boleh diukur termasuk pertumbuhan KDNK antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun, pengurangan defisit fiskal di bawah 3 peratus kepada KDNK dan peningkatan PNK per kapita kepada RM77,200 menjelang 2030.

Katanya, sebanyak RM611 bilion pelaburan diperlukan bagi menjayakan rancangan ini dengan RM430 bilion diperuntukkan oleh kerajaan termasuk RM227 bilion untuk sektor ekonomi, RM133 bilion untuk sektor sosial dan selebihnya untuk sektor keselamatan serta pentadbiran.

Tambahnya, peruntukan sektor sosial memperlihatkan keutamaan kerajaan terhadap pendidikan dan kesihatan dengan masing-masing menerima RM67 bilion dan RM39 bilion.

Selain itu katanya, sektor keselamatan diperuntukkan RM51 bilion, manakala pentadbiran menerima RM17 bilion.

“Inilah impian Malaysia MADANI bukan sekadar pencapaian material tetapi rakyat yang berjiwa besar, hidup bersatu padu dan memiliki jati diri yang utuh,” ujar Anwar.

RMK13 dilihat sebagai asas penting kepada transformasi menyeluruh negara ke arah masa depan yang lebih mampan, saksama dan berintegriti, sekali gus menyeru seluruh rakyat untuk bersama memikul tanggungjawab membina Malaysia yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Anda Mungkin Berminat