PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI menegaskan bahawa usaha membasmi kemiskinan kekal sebagai agenda teras nasional yang tidak akan dikompromi, seiring dengan komitmen membina negara yang lebih adil dan sejahtera untuk semua lapisan masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) menekankan bahawa kemiskinan hari ini bukan hanya soal pendapatan rendah atau kekangan kuasa membeli, sebaliknya menuntut pendekatan menyeluruh yang bersifat manusiawi dan struktural.
“Kemiskinan hari ini lebih luas sifatnya. Ia tidak boleh ditangani sekadar dengan bantuan bersifat sementara. Yang lebih penting ialah penyediaan peluang untuk meningkatkan mobiliti sosial rakyat,” tegas beliau.
Justeru, pendekatan RMK13 memberi keutamaan kepada strategi pemerkasaan ekonomi rakyat dan pembangunan komuniti secara bersepadu. Salah satu inisiatif utama yang diketengahkan ialah Program SejaTi MADANI, yang menyediakan dana sehingga RM100,000 kepada komuniti layak bagi meningkatkan pendapatan serta merancakkan kegiatan ekonomi setempat.
“Program ini unik kerana digerakkan oleh rakyat, untuk rakyat. Ia menyantuni rakyat dengan memenuhi hasrat setiap desa dan komuniti miskin bandar untuk keluar daripada belenggu kemiskinan dengan bermaruah,” kata Perdana Menteri.
Selain itu, pelbagai program peningkatan pendapatan isi rumah, pembangunan usahawan mikro, serta latihan kemahiran dan sokongan sosial akan terus diperluas bagi memastikan rakyat terbawah turut menikmati kemakmuran negara.
“Tiada kompromi dalam usaha kita untuk membasmi kemiskinan. MADANI bukan sekadar slogan, tetapi suatu ikhtiar nasional untuk mengangkat martabat rakyat tanpa mengira kaum, agama atau wilayah,” ujar Perdana Menteri lagi.
RMK13 secara keseluruhan membina asas kepada pertumbuhan yang lebih terangkum dan lestari, menjadikan keadilan sosial sebagai tunjang pembangunan ekonomi negara.
Baca juga: