KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menyambut baik tumpuan Kerajaan terhadap sektor pertanian dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), namun menegaskan bahawa kejayaan rancangan itu bergantung kepada pelaksanaan menyeluruh yang benar-benar membela nasib petani kecil.
Menurut beliau, langkah seperti pemodenan teknologi, peluasan ladang berskala besar dan integrasi rantaian nilai memang penting, tetapi tidak boleh hanya menguntungkan syarikat besar dan agropreneur elit.
“Petani kecil, penternak dan nelayan mesti diberi keutamaan.
“Mereka perlu dibantu agar tidak terpinggir daripada arus pemodenan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mahfuz turut menekankan keperluan menangani isu pemilikan tanah yang menjadi penghalang kepada generasi muda untuk mewarisi kerjaya bertani.
Beliau juga menggesa agar perlindungan sosial bagi golongan petani dan nelayan dipertingkatkan.
“Kerajaan perlu galak penglibatan mereka dalam skim PERKESO dan insurans hasil bagi mengurangkan risiko ketidaktentuan pasaran dan cuaca,” katanya.
Beliau menambah, pelaksanaan dasar mesti dipantau secara bebas dan telus serta langkah tegas perlu diambil bagi menghalang kartel daripada menguasai rantaian bekalan makanan negara.
“Keadilan harga di peringkat ladang mesti dipertahankan.
“Petani berhak menikmati pulangan yang setimpal,” tegasnya.
Mahfuz percaya RMK13 berpotensi memperkukuh kedaulatan makanan negara jika dilaksanakan secara adil dan bertanggungjawab.
Namun, beliau memberi amaran bahawa rancangan itu hanya akan menjadi ‘dokumen indah’ jika gagal menyentuh realiti hidup rakyat di desa dan pesisir.
RMK13 yang diumumkan baru-baru ini memberi tumpuan kepada pemodenan sektor pertanian dan jaminan keselamatan makanan negara, sebagai sebahagian daripada usaha menstruktur semula ekonomi dan mengurangkan kebergantungan kepada import.