KUALA LUMPUR: Malaysia bakal melangkah sebagai negara berteraskan Kecerdasan Buatan (AI) melalui pelaksanaan menyeluruh strategi teknologi digital, tenaga boleh baharu dan transformasi ekonomi Asia Tenggara.
Pelan besar itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan dokumen Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Parlimen, hari ini.
Anwar berkata, tumpuan utama adalah pemerkasaan inovasi teknologi tempatan yang akan mendorong pertumbuhan ekonomi mampan dan pembinaan aset digital strategik seperti AI, analitik data dan sistem digital kerajaan.
“Aktiviti RDCI juga akan dipergiat bagi meningkatkan produk dan perkhidmatan berasaskan ‘Made by Malaysia’.
“Langkah ini penting untuk memperkukuh daya saing ekonomi negara, selain membangunkan industri yang lebih mampan dan berimpak tinggi selaras hasrat menjadi negara berteraskan kecerdasan buatan,” katanya.
Selaras hasrat tersebut, Anwar berkata, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 yang akan menjadi pemacu kepada pembangunan bakat tempatan, penyelidikan, pengkomersialan teknologi serta penyediaan infrastruktur digital negara.
Anwar turut memaklumkan bahawa jaringan 5G disasarkan mencapai 98 peratus liputan di kawasan berpenduduk dan perindustrian termasuk kawasan desa menjelang 2030.
“Komitmen ini seiring dengan sasaran untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 5,000 usahawan digital,” ujarnya.
Katanya lagi, bagi memperkukuh ekosistem AI negara, kerajaan akan melancarkan Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data Nasional yang merangkumi perlindungan data peribadi, pencegahan ancaman siber dan pemeliharaan kedaulatan digital Malaysia.
“Pelaksanaan dasar-dasar utama seperti Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia akan diberi keutamaan dengan penekanan kepada keberkesanan pelaksanaan agar manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat dan industri,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mengangkat inisiatif seperti Identiti Digital Perniagaan dan teknologi ‘digital twin’ sebagai langkah strategik untuk mempertingkatkan inovasi dan daya saing pemain industri tempatan.
Dalam usaha memperkukuh tadbir urus berasaskan data, katanya, Bank Data Negara akan diwujudkan sebagai pangkalan data nasional bersepadu, selain Suruhanjaya Data yang berperanan mengawal selia data negara secara holistik.
“Program akan dilaksanakan bagi memupuk literasi AI seawal peringkat rendah, memperluas penciptaan harta intelek tempatan, mempertingkatkan peruntukan dana strategik serta menggalakkan kerjasama rentas sektor antara industri, institusi penyelidikan, universiti dan inovator muda negara,” ujarnya.
Anwar berkata, pendekatan menyeluruh itu akan menjadi pemangkin utama kepada ekosistem inovasi nasional yang mampan, sekali gus menjana pulangan jangka panjang terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.








