KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) menandakan langkah berani dan strategik ke arah transformasi pembangunan negara apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan keperluan pelaburan bernilai RM611 bilion untuk tempoh lima tahun akan datang.
Anwar berkata, jumlah itu bakal digerakkan secara menyeluruh melalui gabungan peruntukan kerajaan, sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC dan GLIC), serta penyertaan sektor swasta melalui pendekatan perkongsian awam-swasta (PPP).
Menurut beliau, daripada keseluruhan pelaburan itu, RM430 bilion diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan, manakala RM120 bilion disumbangkan oleh GLC dan GLIC serta RM61 bilion dijangka daripada pelaksanaan projek PPP.
Perdana Menteri berkata, pelaburan besar itu akan disalurkan secara berimpak tinggi dan strategik dengan fokus utama memperkukuh sektor ekonomi negara dalam jangka panjang.
Malah, katanya, RM227 bilion daripada jumlah keseluruhan akan disalurkan ke sektor ekonomi, manakala sektor sosial menerima peruntukan besar sebanyak RM133 bilion termasuk RM67 bilion untuk pendidikan dan RM39 bilion bagi kesihatan.
“Sektor keselamatan negara diperuntukkan RM51 bilion, manakala sektor pentadbiran akan menerima RM17 bilion dalam tempoh pelaksanaan RMK13.
“Pelaburan ini bukan semata-mata soal angka, tetapi soal keupayaan kita melonjakkan Malaysia menjadi negara pencipta, bukan pengguna semata-mata dan pada masa yang sama, memastikan rakyat menikmati manfaat secara adil dan saksama,” ujarnya.
Di bawah tema “Melakar Semula Pembangunan,” RMK13 menyasarkan pertumbuhan KDNK antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun dengan komitmen untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara melalui pengurangan defisit Kerajaan Persekutuan ke bawah 3 peratus KDNK menjelang 2030.
Kerajaan turut menetapkan sasaran pendapatan negara kasar per kapita mencecah RM77,200, melepasi ambang negara berpendapatan tinggi.
Pada masa yang sama, sasaran turut merangkumi pengukuhan pasaran buruh dengan guna tenaga penuh dan pampasan pekerja mencapai 40 peratus KDNK.
Perdana Menteri menyifatkan rancangan pelaburan RM611 bilion itu sebagai iltizam nasional, bukti kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan Malaysia bukan sahaja pulih pasca-pandemik tetapi mampu melonjak sebagai negara berkebajikan dan berdaya saing.