RMK13: Negara Perlu Menteri Pendidikan Berwibawa – Anuar Ahmad

PETALING JAYA: Reformasi pendidikan yang dihasratkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menuntut kepimpinan yang kuat dan berwawasan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kata Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad.

Mengulas ucapan Datuk Seri Rafizi Ramli tentang penekanan reformasi pendidikan dalam RMK13 susulan peletakan jawatannya semalam, Dr Anuar berkata, kejayaan reformasi itu bergantung pada seorang pemimpin pendidikan yang cemerlang.

“Bukan isu peletakan jawatan beliau yang ingin saya utarakan tetapi tentang pendidikan.

“Dalam ucapan beliau (Rafizi), dinyatakan secara jelas fokus utama RMK13 nanti ialah Reformasi Pendidikan termasuk melakukan penstrukturan semula sistem pendidikan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Menurutnya, kejayaan reformasi ini memerlukan pemimpin yang bukan sekadar berpengalaman tetapi memiliki visi jauh ke depan dan diterima baik oleh masyarakat.

“Jika pembentangan RMK13 diluluskan oleh sidang Parlimen akan datang, KPM memerlukan seorang pemimpin pendidikan yang kuat untuk menjayakan Reformasi Pendidikan sebagaimana yang dihasratkan di dalam RMK13,” katanya.

Dengan peletakan jawatan dua Menteri Kabinet, Dr Anuar meramalkan rombakan kabinet akan berlaku dalam masa terdekat.

“Pada anda, siapa watak yang paling sesuai untuk jawatan Menteri Pendidikan?,” soalnya.

Anda Mungkin Berminat