PETALING JAYA: Kerajaan akan terus memperkasa ekonomi Bumiputera menerusi pelbagai inisiatif strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), selaras dengan pendekatan MADANI yang inklusif dan berteraskan keperluan sebenar rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus diberikan kepada strategi 3P iaitu penyertaan meluas, pemilikan bermakna dan penguasaan dalam sektor strategik melalui agenda utama PuTERA35.
“Dua projek strategik seperti pembangunan Bandar Malaysia dan kawasan sekitar Lapangan Terbang Subang akan melibatkan penyertaan signifikan usahawan Bumiputera.” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
GLC juga akan digembleng untuk melahirkan sekurang-kurangnya 10 jaguh Bumiputera dalam rantaian bekalan, dengan nilai syarikat disasarkan melebihi RM500 juta setiap satu.
Bagi meningkatkan keupayaan bersaing di peringkat antarabangsa, program “Gate to Global” (GTG) akan diperkasa melalui padanan eksport, pemasaran digital dan pembangunan produk.
Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak turut diberi perhatian menerusi penyediaan premis komersial, akses pembiayaan, serta latihan dan bimbingan keusahawanan.
Agenda pemerkasaan Bumiputera digerakkan sejak era Dasar Ekonomi Baru (DEB), namun RMK13 memberi nafas baharu dengan pendekatan yang lebih bersasar, inklusif dan berimpak tinggi.
Baca juga: