KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus menandakan komitmen Kerajaan MADANI terhadap pembangunan mampan dan berpendapatan tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sasaran itu didorong oleh permintaan dalam negara khususnya penggunaan dan pelaburan swasta yang dijangka kekal aktif dan berdaya saing.
Beliau turut menjelaskan bahawa eksport kasar negara dijangka berkembang sebanyak 5.8 peratus setahun, selari dengan peluang perdagangan global yang semakin luas dan pasaran eksport yang terus berkembang.
“Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, hasil peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai,” katanya.
Dalam aspek fiskal, Anwar memaklumkan bahawa defisit fiskal dijangka menyusut secara berperingkat kepada bawah tiga peratus daripada KDNK, manakala kadar hutang kerajaan akan dikekalkan di bawah 60 peratus, menjelang akhir tempoh rancangan.
Kerajaan juga menyasarkan pendapatan negara kasar (PNK) per kapita meningkat kepada RM77,200, melangkaui ambang negara berpendapatan tinggi dan membuka ruang kepada ekonomi yang lebih inklusif serta berdaya tahan.
Kata Anwar, daripada segi tenaga buruh, pasaran dijangka menunjukkan peningkatan signifikan apabila kadar pampasan pekerja kepada KDNK mencapai 40 peratus, manakala kadar pengangguran dijangka menurun ke tahap guna tenaga penuh menjelang 2030.
Tambah Perdana Menteri lagi, kadar inflasi negara diramal kekal terkawal sepanjang tempoh RMK13, berada dalam lingkungan dua hingga tiga peratus setahun, sejajar dengan kestabilan makroekonomi dan kebajikan rakyat.