PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM40 bilion bagi sektor kesihatan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) sebagai langkah menyeluruh memperkukuh sistem kesihatan negara dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara langkah utama ialah pelaksanaan Skim Perubatan MADANI yang akan memastikan akses kepada penjagaan kesihatan lebih meluas, terangkum, berkualiti dan mampu dibayar oleh rakyat.
“Kerajaan tidak boleh berkompromi dalam soal kesihatan awam.
“Kita berdepan tekanan seperti inflasi perubatan, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penuaan populasi.
“Justeru, tindakan berani perlu diambil,” katanya ketika membentangkan RMK13 hari ini.
Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada pendekatan menyeluruh, cukai pro-kesihatan akan diperluaskan daripada gula kepada produk seperti tembakau, vape dan alkohol, bukan hanya sebagai sumber hasil tetapi sebagai langkah pencegahan untuk mengekang peningkatan NCD.
Bagi menambah baik kemudahan kesihatan, Anwar berkata, beberapa projek besar akan dilaksanakan termasuk Hospital Tuanku Ja’afar 2, (Negeri Sembilan), Hospital Sultanah Aminah 2 (Johor), Pusat Kanser Wilayah Utara (Kedah), Pusat Jantung Sabah, Hospital Queen Elizabeth II (Sabah) dan Pusat Kanser Sarawak.
Kerajaan turut memberi tumpuan kepada isu kekurangan sumber manusia kesihatan dengan merangka satu kerangka pembangunan profesional kesihatan peringkat kebangsaan.
Ini termasuk aspek latihan pra-perkhidmatan, pelesenan, pengambilan, penempatan dan pembangunan kerjaya bagi memastikan kelestarian bakat dalam sektor ini.
Pendigitalan sistem kesihatan juga akan digerakkan melalui pengukuhan pengurusan rekod kesihatan, yang akan membolehkan saling kebolehkendalian data antara fasiliti kesihatan awam dan swasta.
Inisiatif ini disokong oleh penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan analitik kesihatan berimpak tinggi, sekali gus meningkatkan mutu penjagaan kesihatan rakyat.