PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh sektor agrikomoditi dan industri strategik negara sebagai enjin pertumbuhan ekonomi melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berteknologi tinggi dan berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, subsektor agrikomoditi seperti sawit, getah dan koko akan terus dimajukan melalui penggunaan teknologi moden seperti mekanisasi, automasi dan robotik, penyelidikan dan inovasi (RDCI), serta pensijilan kemampanan.
“Langkah ini penting untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, dan menjadikan sektor ini lebih mampan serta berdaya saing,” katanya.
Dalam masa yang sama, kerajaan memberi perhatian kepada sektor strategik lain yang memberi impak tinggi kepada ekonomi negara, termasuk, industri halal, industri kewangan, industri pelancongan, industri kreatif dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)
Bagi industri halal, RMK13 menetapkan sasaran nilai eksport meningkat kepada RM80 bilion, dengan sumbangan industri itu kepada KDNK nasional dijangka naik kepada 11 peratus.
Sasaran ini akan disokong melalui: Penubuhan Suruhanjaya Halal Malaysia, sebuah badan khusus untuk penyelarasan, pengawalseliaan dan promosi industri halal.
Pembinaan Halal Industrial Park di negeri-negeri terpilih seperti Melaka, Perak dan Kelantan.
Dalam sektor kewangan pula, kerajaan akan memperkukuh daya saing dan ketahanan industri melalui pendigitalan sistem kewangan, termasuk: Penerokaan teknologi tokenisasi aset, kajian dan pembangunan mata wang digital bank pusat (CBDC), dan peluasan platform sandbox sebagai ruang eksperimen terkawal untuk inovasi fintech.
Baca juga: