RMK13: Sektor pelancongan sasar sumbangan 16% kepada KDNK

PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI menetapkan sasaran agar sektor pelancongan menyumbang sebanyak 16 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang akhir tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), susulan pemulihan kukuh dan potensi tinggi yang dimiliki industri berkenaan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perbelanjaan pelancong asing telah melonjak kepada RM102.2 bilion pada tahun 2024, mencerminkan keyakinan terhadap destinasi pelancongan negara yang terus menarik minat pasaran antarabangsa. Kerajaan akan terus memperkukuh sektor ini sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan rakyat.

Antara langkah utama yang akan digerakkan termasuklah pembangunan Zon Pelaburan Pelancongan Strategik (STIZ) di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak. Zon ini akan dibangunkan melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta dan koperasi bagi menarik pelaburan serta mencipta produk pelancongan baharu yang berdaya saing.

Produk pelancongan baharu itu akan memberi penekanan kepada pengalaman berasaskan seni, budaya, warisan serta alam semula jadi, termasuk kawasan seperti Lembah Lenggong dan Gua Niah yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Dalam masa yang sama, Inisiatif Warisan Kuala Lumpur akan dilaksanakan bagi memulihara khazanah sejarah ibu negara seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Carcosa Seri Negara.

Kerajaan turut berhasrat memperkasakan industri inap desa bagi memastikan limpahan ekonomi pelancongan dapat dinikmati sehingga ke peringkat komuniti luar bandar. Pendekatan ini diharap dapat memacu keseimbangan pembangunan ekonomi antara bandar dan desa.

Sebagai pemangkin utama kepada lonjakan sektor ini, Tahun Melawat Malaysia 2026 akan dijadikan titik tumpu utama dalam menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dan tempatan.

Melalui perancangan yang berfokus dan kolaborasi pelbagai pihak, kerajaan yakin sasaran 16 peratus sumbangan pelancongan kepada KDNK dapat direalisasikan sepanjang pelaksanaan RMK13.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat