RMK13: TVET Diperluas Lahirkan Generasi Huffaz Teknokrat MADANI


PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI akan memperluas penawaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar tahfiz sebagai usaha melahirkan generasi huffaz teknokrat MADANI yang bukan sahaja menguasai ilmu agama, tetapi juga memiliki kepakaran teknikal yang relevan dengan keperluan industri masa kini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) hari ini menegaskan bahawa pendekatan inklusif ini akan merapatkan jurang antara pendidikan agama dan kemahiran teknikal serta melahirkan tenaga kerja berintegriti dan berdaya saing.

“Penawaran program TVET turut diperluas kepada pelajar tahfiz bagi melahirkan huffaz teknokrat MADANI yang mempunyai nilai tambah kepakaran teknikal,” katanya.

Tambah beliau, usaha memperkasa TVET akan distrategikan semula dengan memberi penekanan kepada sektor bernilai tinggi (HGHV) dan berasaskan teknologi termaju, sejajar keperluan pasaran buruh di zon perindustrian strategik seperti JS-SEZ, KIGIP dan KHTP.

Kerajaan turut menyasarkan pewujudan 1.2 juta peluang pekerjaan baharu sepanjang tempoh RMK13, meliputi 700,000 pekerjaan dalam sektor pembuatan dan 500,000 dalam bidang ekonomi digital.

Bagi menggalakkan penyertaan belia dalam bidang ini, beberapa inisiatif akan diperkenalkan termasuk Skim Pembiayaan Perkasa TVET Madani dan Dana Latihan TVET.

Malaysia juga menyasarkan untuk tersenarai dalam kelompok 20 terbaik dunia dalam Indeks Inovasi Global menjelang 2030 sebagai penanda aras daya saing negara dalam ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat