Desas-desus mengenai rombakan kabinet semakin kuat diperkatakan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan akan mengubah barisan jemaah menteri sebelum hujung tahun ini.
Memetik laporan The News, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani akan dilantik sebagai menteri pada rombakan kabinet yang akan dilakukan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga akan diserap sebagai anggota kabinet.
Ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan pada penggal lepas, Dr Dzulkefly dilantik sebagai Menteri Kesihatan sebelum hilang jawatan disebabkan kerajaan PH dijatuhkan menerusi langkah Sheraton.
Manakala, Johari pula pernah dilantik sebagai Menteri Kewangan ke-2, ketika era pentabiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selain itu, difahamkan Kementerian Wilayah akan diwujudkan semula selepas ia hanya berstatus jabatan dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Sebelum ini, media melaporkan, Anwar memberi bayangan akan melakukan rombakan kabinet pada penghujung tahun ini.
Kenyataan itu dibuat Anwar yang juga Menteri Kewangan usai menunaikan solat Jumaat di Surau Putra Al-Amin, Putrajaya.