Rombakan Kabinet Peluang ‘Set Semula’ Prestasi Kerajaan – Mahfuz Omar

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menyifatkan rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu langkah besar untuk melakukan ‘reset’ (set semula) terhadap prestasi kerajaan dan bukan sekadar pertukaran jawatan semata-mata.

Menurut beliau, rombakan itu harus dilihat sebagai peluang memperkukuh reformasi agar benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat, bukannya hanya memenuhi imbangan politik.

“Kerajaan tidak boleh terus mengumumkan dasar atau pindaan undang-undang yang belum masak sepenuhnya sehingga terpaksa ditangguhkan apabila dibantah kerana ini melemahkan keyakinan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahfuz berkata, kerajaan tidak kekurangan idea reformasi tetapi berdepan cabaran besar dalam menterjemahkan dasar dengan berkesan sehingga manfaatnya gagal dirasai rakyat.

Beliau turut menjadikan isu rasionalisasi subsidi sebagai contoh jelas kegagalan komunikasi dasar.

Katanya, rakyat hanya melihat kenaikan harga tanpa memahami perlindungan dan penjimatan yang sebenarnya dikembalikan kepada mereka.

Mahfuz menolak pandangan bahawa kemerosotan sokongan berpunca daripada kerajaan terlalu reformis.

Sebaliknya, beliau menegaskan ia berpunca daripada kelemahan jentera, kegagalan naratif serta jurang antara pembuat dasar dengan realiti hidup rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa rombakan Kabinet disusuli dengan perubahan pendekatan yang lebih menyeluruh termasuk reformasi yang diuji dari sudut politik dan emosi rakyat, menteri tampil sebagai jurucakap utama dasar serta penyampaian kerajaan yang lebih dekat dengan kehidupan seharian rakyat.

Anda Mungkin Berminat