RON95 Dan RON97 Turun 25 Sen, Diesel Susut 75 Sen

PETALING JAYA: Kerajaan MADANI mengumumkan penurunan harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 16 hingga 22 April 2026, selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.

Dalam kenyataan rasmi, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan harga runcit RON97 ditetapkan pada RM5.10 seliter berbanding RM5.35 sebelum ini, manakala RON95 turun kepada RM4.02 seliter daripada RM4.27.

Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia pula mencatat penurunan besar sebanyak 75 sen, menjadikan harga baharu RM5.97 seliter.

Kerajaan dalam masa sama mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar bagi rakyat dan sektor tertentu.

Antara yang dikekalkan ialah harga RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan pada RM2.15 seliter serta melalui sistem kawalan subsidi SKPS dan SKDS masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

“Dengan konflik di Asia Barat yang berlarutan, kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan semasa dan mengambil langkah bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api.

“Di samping melindungi rakyat serta sektor ekonomi daripada impak penuh gangguan rantaian bekalan,” kata kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat