RON95: Kerajaan lebih berhati-hati namun kebajikan rakyat tetap utama – MP PJ

BELANJAWAN 2025 | Kerajaan menunjukkan keprihatinan yang jelas dalam rasionalisasi subsidi bagi petrol RON95 dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, beliau menyedari bahawa kerajaan sedang mengambil langkah berhati-hati, terutama dalam melihat kesan subsidi bersasar yang telah dilaksanakan untuk diesel.

Chean Chung menekankan bahawa kerajaan berusaha untuk memberikan bantuan yang lebih berkesan kepada rakyat.

“Bantuan kepada rakyat akan diteruskan, dan angka bantuan itu meningkat kepada belasan bilion.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos hidup yang semakin meningkat,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Beliau juga membandingkan antara subsidi dalam bentuk minyak dan subsidi tunai.

Menurutnya, mengalirkan subsidi dalam bentuk tunai adalah lebih baik kerana rakyat dapat menggunakan bantuan tersebut mengikut keperluan mereka.

“Pilihan tunai memberi kebebasan kepada rakyat untuk memenuhi pelbagai keperluan harian mereka yang mungkin lebih mendesak.

“Dengan pendekatan subsidi yang lebih bersasar, diharapkan bantuan yang diberikan akan lebih berkesan,” katanya lagi.

Lee Chean Chung mengharapkan kerajaan terus mendengar suara rakyat dan melakukan penambahbaikan dalam pelaksanaan subsidi.

Anda Mungkin Berminat