RON95 RM1.99: Bukti Kerajaan Tak Lari Dari Rakyat – PKR Pahang

KUANTAN: Penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter bermula hari ini disifatkan sebagai bukti jelas kerajaan tidak pernah mengabaikan kepentingan rakyat terbanyak.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim berkata, langkah itu menunjukkan keberanian kerajaan melakukan penstrukturan semula subsidi agar manfaatnya sampai kepada golongan yang layak.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan BUDI95 memastikan subsidi petrol disusun semula, sekali gus menutup ketirisan hampir RM4 bilion setahun yang sebelum ini mengalir kepada warga asing dan kartel sempadan.

Penjimatan itu, katanya, wajar disalurkan semula untuk kemudahan rakyat seperti sekolah, klinik desa, jalan kampung serta bantuan tunai keluarga Malaysia.

Dr Suhaimi turut memuji pengumuman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal memperluas perlindungan sosial kepada pekerja di luar waktu bekerja termasuk suri rumah dan pekerja gig.

Reformasi sosial ini, katanya, membuktikan kerajaan komited menyelaras dasar perlindungan dengan realiti masyarakat semasa.

Beliau bagaimanapun menyindir pembangkang yang sering mempolitikkan dasar pro-rakyat kerajaan, seolah-olah tidak senang apabila rakyat menerima manfaat langsung.

“Mereka berlagak jaguh rakyat, tetapi hakikatnya, yang mereka pertahankan bukan rakyat, sebaliknya modal politik mereka sendiri,” katanya.

Menurutnya, rakyat wajar memberi sokongan penuh kepada kerajaan bagi memastikan pelaksanaan sistem baharu berjalan lancar.

“Kerajaan ini tidak menjanjikan jalan mudah, tetapi berani memilih jalan tidak popular demi kesejahteraan rakyat,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan seluruh pasukan pentadbiran MADANI.

Anda Mungkin Berminat