PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi, hari ini, memerintahkan seorang pemilik akaun TikTok membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor berikutan kenyataan fitnah yang mendakwa beliau mengamalkan ilmu hitam dan menggunakan khidmat bomoh.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh selepas membenarkan tuntutan Rosmah, 74, terhadap Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, yang dinamakan sebagai defendan.
Beliau gagal memfailkan memorandum kehadiran untuk membalas saman dalam tempoh yang ditetapkan.
Prosiding taksiran ganti rugi yang diadakan secara dalam talian melalui Zoom turut menyaksikan mahkamah menyatakan bahawa plaintif berjaya membuktikan haknya untuk menerima pampasan atas fitnah yang dilemparkan.
“Setelah meneliti semua faktor, mahkamah berpandangan bahawa jumlah keseluruhan RM100,000 adalah adil dan seimbang.
“Ia meliputi ganti rugi am dan ganti rugi teruk. Tuntutan bagi ganti rugi teladan ditolak kerana tiada bukti kukuh dikemukakan untuk menyokongnya,” kata hakim.
Rosmah memfailkan saman pada 19 September 2023 atas dakwaan bahawa defendan memuat naik sebuah video di akaun TikTok miliknya pada 22 Mac 2023 yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar.
Dalam pernyataan tuntutan, Rosmah mendakwa kenyataan tersebut menggambarkan beliau sebagai melakukan perbuatan berdosa, terlibat dalam amalan syirik, menggunakan bomoh dan digambarkan sebagai individu jahat.
Beliau turut menyatakan kenyataan itu mencemarkan reputasinya sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri serta penaung pelbagai badan amal sehingga menyebabkan beliau dihina, dicemuh dan dipandang serong oleh masyarakat.
Rosmah menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.