PETALING JAYA: Malaysia melakar satu lagi sejarah penting dalam pembangunan belia apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035, sebuah pelan komprehensif yang menekankan pembentukan belia berkualiti sebagai teras kemajuan negara.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, RPN bukan sekadar menumpukan kepada pencapaian akademik, malah turut mengangkat nilai sahsiah, kemahiran insaniah, kepimpinan dan daya tahan sebagai komponen utama dalam membentuk generasi muda yang seimbang dan berdaya saing.
“Pendidikan yang kukuh merupakan asas utama kepada pembangunan belia yang seimbang, berdaya saing dan mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat serta negara,” katanya.
Menurut beliau, pelan itu turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat, penguasaan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), inovasi dan pembelajaran sepanjang hayat selari dengan keperluan belia masa kini yang hidup dalam era perubahan pantas.
“Inisiatif ini diyakini mampu menyediakan generasi muda dengan keupayaan berfikir secara kritis, bersifat adaptif dan berani meneroka peluang baharu dalam landskap ekonomi serta sosial yang sentiasa berubah,” tambah beliau.
Dr Taufiq menyambut baik pelaksanaan RPN dan menyeru agar semua pihak berganding bahu menjayakannya.
“Sesungguhnya, kejayaan pelaksanaan RPN 2026–2035 memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, pendidik, ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil serta golongan belia sendiri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa RPN akan menjadi asas kukuh dalam membentuk generasi belia Malaysia yang berkualiti, berdaya tahan dan bersedia memimpin negara ke arah masa depan yang lebih mampan, progresif dan sejahtera.
Dalam semangat Malaysia MADANI katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan bekerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan kesinambungan pembangunan belia dari alam persekolahan ke fasa latihan kemahiran, kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan dan kebolehpasaran pekerjaan.








