KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, semalam merasmikan Rumah Sembelih Colla (RSC) di Kuala Selangor, satu langkah strategik bagi memperkukuh industri daging halal tempatan.
RSC dibangunkan sebagai fasiliti moden untuk meningkatkan kapasiti penyembelihan dan pemprosesan daging halal, dengan keupayaan mengendalikan 18 hingga 20 ekor lembu sejam.
“Keupayaan ini memacu kecekapan operasi dan mengukuhkan rantaian bekalan dari ladang terus kepada pengguna,” kata Mohamad menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Beliau menambah, RSC dilengkapi peralatan canggih termasuk cold room, blast freezer, sistem kebersihan bersepadu dan prosedur keselamatan makanan bertaraf industri.
“Kewujudan RSC ini bukan sahaja memastikan bekalan daging tempatan lebih stabil dan berkualiti, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk Kuala Selangor,” katanya.
Menurut Mohamad, RSC turut memberi ruang kepada penternak dan usahawan daging untuk mendapatkan perkhidmatan penyembelihan dan penyimpanan bertaraf tinggi, sekali gus memperluas akses industri.
Beliau turut menyambut baik usaha Colla memperkukuh portfolio daging premium melalui ternakan baka MyGyu, yang mampu menghasilkan daging berkualiti setanding Wagyu import pada harga lebih berpatutan.
“Insha-Allah, pelancaran RSC ini membawa kita semakin hampir mencapai tahap sara diri daging tempatan yang lebih tinggi sambil memastikan keterjaminan makanan negara terus dipertingkat,” ujarnya.
Baca juga:








