PARLIMEN | Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa pihak berkuasa agar segera mengambil tindakan terhadap kes buli melibatkan seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di sebuah institusi pendidikan swasta di Hulu Selangor.
Gesaan itu dibuat dalam sidang media di Parlimen pada Isnin, susulan laporan polis yang telah dibuat oleh keluarga mangsa di Balai Polis Kuala Kubu Bharu pada Disember tahun lalu.
Menurut Rayer, meskipun laporan telah dikemukakan, keluarga remaja berusia 15 tahun itu masih menunggu keadilan.
“Sehingga hari ini, belum ada sebarang tindakan susulan oleh pihak polis terhadap suspek-suspek yang terlibat dalam kes ini,” katanya.
Beliau turut menggesa agar pegawai penyiasat di Balai Polis Kuala Kubu Bharu bertindak segera bagi memastikan kes tidak terus berlarutan dan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.
Rayer juga mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Jabatan Siasatan Jenayah Selangor untuk campur tangan dan meneliti perkara ini secara serius.
Menurut beliau, mangsa yang merupakan pemegang kad OKU telah dimasukkan ke hospital tahun lalu selepas dipercayai menjadi mangsa serangan fizikal dan buli oleh pelajar lain dari institusi sama.
Lebih mengejutkan, dakwa Rayer, laporan perubatan menunjukkan pelajar tersebut turut menjadi mangsa serangan seksual.