RTM rehatkan Don Daniyal daripada siaran Salam Baitullah

Isu berbangkit yang berkait dengan seorang pendakwah bebas, Don Daniyal Don Biyajid, baru-baru ini telah dikritik oleh beberapa pihak ekoran dakwaannya berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Susulan itu, beliau telah direhatkan daripada terus bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan satu kenyataan pada 4 Jun 2024 (Selasa), mengenai isu tersebut dan dakwaan Nabi melamar wanita terbabit tidak dapat diterima kerana belaku kecacatan pada riwayatnya.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman, tindakan tersebut diambil bagi meredakan keadaan sedia ada.

“Pada awalnya, Don Daniyal bukanlah penganalisis mahupun penceramah dalam program kendalian RTM sebaliknya hanyalah perantara.

“Beliau juga dinasihatkan agar tidak mengundang sebarang kontroversi dan beliau akur,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, terdapat beberapa warganet juga mendesak Suhaimi bertindak kerana Don Daniyal terlibat dalam program RTM.

Dalam masa sama, Penasihat Menteri Komunikasi, Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, beliau menegaskan bahawa Don Daniyal perlu digantung tugas atau digantikan dengan orang lain.

“Agensi kerajaan memberi mesej salah dengan biarkan penceramah yang jelas telah salah, pertahan yang salah walau ditegur autoriti agama. RTM mesti bertegas,” ciapnya di laman sosial X.

Terdahulu, Don Daniyal telah dikritik oleh beberapa pihak ekoran dakwaannya berkaitan kisah Nabi Muhammad SAW bahawa baginda pernah melamar seorang wanita bernama, Ummu Hani sebanyak tiga kali.

Selain itu, beliau turut mendakwa Ummu Hani merupakan ‘cinta pertama’ Rasulullah. Walaupun ditegur oleh beberapa tokoh agamawan, beliau bertegas dan tidak membuat sebarang pembetulan.

Untuk info, Salam Baitullah merupakan sebuah rancangan RTM yang bersiaran setiap kali musim haji. Kali ini ia disiarkan sejak 2 Jun dan dijadual berlanjutan sehingga 17 Jun ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat