Rumah Bakat Madani bantu rakyat pendapatan rendah miliki rumah

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan Madani sentiasa menekankan kecepatan kelulusan dengan kerjasama merentas Kementerian dan Agensi serta dengan penglibatan Kerajaan Negeri.

Anwar menyifatkan prinsip itu antara fokus kerajaan dalam usaha membawa kesejahteraan buat rakyat.

“Prinsip ini merupakan fokus kerajaan kepada usaha untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat dengan pembentukan sebuah kawasan kejiranan yang bersifat ihsan serta mampu memupuk pembangunan komuniti dengan nilai Madani dan bukan sekadar kemegahan binaan dan reka bentuk,” katanya di laman Facebook hari ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri memaklumkan satu inisiatif baharu oleh kerajaan yang dikenali sebagai ‘Pembangunan Rumah Bakat MADANI di Pulau Pinang’ melibatkan pemaju swasta Skyworld akan membolehkan rakyat pendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman mampu milik.

“Sewaktu pembentangan konsep tersebut hari ini, saya dimaklumkan pembangunan itu turut dilengkapi dengan kemudahan asas dan fasiliti yang lengkap termasuk pembangunan sekolah dan taska, surau, ruang perniagaan serta kawasan lanskap dan taman.

“Elemen sekolah menegak yang bakal dimajukan ini apabila diintegrasikan dengan pemajuan perumahan merupakan ikhtiar dalam memastikan keselamatan pelajar untuk ke sekolah serta saya percaya mampu mengurangkan tanggungan kos pengangkutan keluarga,” kata beliau.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat