PETALING JAYA: Konsep ‘Rumah Bangsa’ yang diketengahkan oleh UMNO dilihat seiring dengan usaha memperkukuh perpaduan nasional serta memperluas tadbir urus inklusif, kata Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau berkata, idea tersebut bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya selari dengan gagasan Kerajaan Perpaduan yang pernah dicadangkan oleh bekas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Jika merujuk kepada titah diraja ketika awal pembentukan Kerajaan Perpaduan, baginda mencadangkan supaya diwujudkan kerajaan yang menghimpunkan parti-parti politik merentasi spektrum politik negara,” katanya dipetik NST.
Menurut Muhammad Kamil, perbincangan mengenai inisiatif seperti ‘Rumah Bangsa’ tidak wajar dianggap kontroversial kerana dialog merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kefahaman serta kerjasama antara parti politik.
“Saya percaya ini mungkin kesinambungan kepada usaha tersebut.
“Kita tidak mempunyai sebarang halangan untuk berbincang atau memperhalusi sesuatu perkara,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, perpaduan orang Melayu dan Bumiputera dalam perkara berkaitan kepentingan asas Perlembagaan tidak pernah terjejas.
“Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, institusi Raja-Raja Melayu serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera merupakan prinsip asas yang terus dipertahankan.
“Perkara-perkara ini adalah asas penting yang perlu dipertahankan dalam usaha menjunjung Perlembagaan,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Muhammad Kamil mengakui perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin politik lazimnya hanya melibatkan pendekatan, bukan prinsip.
Beliau menekankan bahawa kebijaksanaan amat diperlukan dalam mengurus isu sensitif melibatkan kaum, agama dan institusi diraja bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.








