Rumah Baru Untuk ‘Auntie Cha Moi’, Hadiah Tahun Baru Cina – Steven Sim

PETALING JAYA: Kisah hidup seorang warga emas berusia 89 tahun yang dikenali penduduk kampung sebagai ‘Auntie Cha Moi’ mengundang simpati apabila beliau terpaksa tinggal di rumah lama berusia hampir 70 tahun yang kini uzur dan hampir roboh.

Menurut hantaran di Facebook Steven Sim Chee Keong, ‘Auntie Cha Moi’ tinggal bersama seorang anak lelakinya berusia 57 tahun yang hanya melakukan kerja-kerja kampung.

Menurut beliau, anak-anak lain turut menjaga beliau, namun masing-masing juga hidup dalam kesusahan dengan tanggungjawab keluarga sendiri.

Tambahnya, bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekadar cukup untuk makan seharian.

Suami ‘Auntie Cha Moi’ telah meninggal dunia 25 tahun lalu dan meninggalkan beliau bersama kenangan hidup berumah tangga dan rumah kayu yang didiami sejak muda.

Kini katanya, rumah itu semakin reput, di mana atap bocor, lantai retak, dinding usang, malah bilik air tidak selamat digunakan.

Pada usia sebegini, sepatutnya ‘Auntie Cha Moi’ menikmati hari-hari tenang, namun setiap malam beliau terpaksa tidur ditemani bunyi titisan air hujan yang menitis ke tempat tidurnya.

Kisah pilu ini mendapat perhatian Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim yang menziarahi ‘Auntie Cha Moi’ baru-baru ini.

“Takpa, Steven janji, kita akan bina rumah baru, rumah yang selamat, rumah yang bermaruah.

“Kerana tiada siapa yang patut lalui usia senja dalam keadaan begini. Jangan risau Auntie, Tahun Baru Cina ini Steven pastikan Auntie sambut di rumah yang baru,” katanya.

Janji tersebut memberi sinar baharu buat ‘Auntie Cha Moi’ yang sekian lama hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Anda Mungkin Berminat