Rumah dekat dengan tempat kerja, jurutera muda anggap bekerja pada hari raya perkara biasa

Hari Raya Aidilfitri merupakan musim perayaan yang amat dinantikan seluruh umat Islam dan menjadi peluang untuk meluangkan waktu dan menghabiskan masa dengan ahli keluarga tercinta.

Kebanyakkan penghuni kota, memilih untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing dan memilih untuk menghabiskan masa cuti di rumah.

Bagaimanapun, berbeza buat seorang jurutera muda yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Kulim, Kedah.

Syafinas Harish, 27, berkata, dia lebih senang memilih untuk tidak mengambil cuti sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.

Mempunyai alasan dan cara tersendiri untuk meraikan Lebaran, baginya, setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk meraikan sambutan hari besar itu.

Keluarga besar Syafinas sempena Aidilfitri tahun lepas.

“Setiap tahun saya menyambut hari raya di kampung, tetapi tahun ini lain sikit sebab saya akan beraya di pejabat.

“Saya memilih untuk bekerja bukan kerana desakan atau paksaan majikan, tetapi ini memang kehendak saya untuk mencari duit lebih,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Jelas Syafinas, sebelum perayaan Aidilfitri, beliau telah membantu ibunya untuk membuat persiapan raya bagi mengelakkan keadaan kelam-kabut menjelang Aidilfitri.

“Sebelum raya memang saya sahaja anak yang berada berdekatan dengan mak ayah di kampung jadi untuk persiapan raya memang saya sudah siapkan awal.

“Mak pun setuju dengan keputusan saya untuk bekerja di hari raya, lagi pun rumah dengan tempat kerja tidak la jauh mana pun,” jelasnya.

Tambahnya, jarang perjalanan dari tempat kerja ke rumah iaitu Kulim ke Kuala Nerang hanya memakan masa satu jam, 30 minit perjalanan.

“Saya memang nak ulang-alik Kulim ke Kuala Nerang sepanjang raya ni sebab nak rasakan suasana raya dengan adik-beradik lain.

“Tak kisah pun nak ulang-alik ni asalkan dapat beraya dengan keluarga pada waktu malam, itu pun sudah cukup untuk saya,” jelasnya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat